Tafsir Quran Surah Al Fatihah

Ayat ke 2
AL HAMDU LILLAHI RABBIL `AALAMEEN
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Allah yang suruh kita baca ayat ini sebegini. Tapi sebenarnya, seperti ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”. Ibnu Jarir mengatakan ‘Alhamdulillah’ merupakan pujian yang disampaikan Allah untuk diriNya. Di dalamnya terkandung perintah kepada hamba-hambaNya supaya mereka memujiNya. Seolah-olah Dia mengatakan “Ucapkanlah, alhamdulillah.”
Jadi, ayat ini adalah ayat dimana Allah memuji DiriNya dan menyuruh hambaNya untuk memujiNya sebegitu juga.
Selalunya kitab terjemahan akan menerjemahkan ayat ini sebagai ‘Segala puji bagi Allah’. Tapi yang kami belajar ianya diterjemahkan begini:
الْحَمْدُ لِلَّهِ
Pujian itu, samada satu atau semua sekali adalah hanya milik Allah. Sesama kita manusia pun kita ada puji memuji, kepada sultan, orang alim, ibu bapa dan sebagainya. Tapi pujian yang sebenarnya hanya pada Allah. Hanya Allah sahaja yang layak dipuji. Jadi pujian kepada yang selain Allah tidaklah sama dengan pujian kita kepada Allah. Dari huruf ا dan لْ dimaksudkan untuk melengkapi bahawa segala macam jenis dan bentuk pujian itu, hanya untuk Allah semata.
Pujian ada banyak jenis:
1. Pujian Allah kepada diriNya
2. Pujian Allah kepada makhluk. Contohnya pujian Allah kepada Nabi.
3. Pujian makhluk kepada Allah. Ini sesuatu yang biasa.
4. Pujian makhluk kepada makhluk. Sebagai contoh, kita selalunya memuji orang lain kerana mereka cantik, pandai atau sebagainya.
Semua jenis pujian itu sebenarnya pulang balik kepada Allah. Kerana Allah lah yang menyebabkan semua itu terjadi. Contohnya jikalau kita memuji seseorang itu pandai, dia tidak pandai sendiri. Pandainya dia itu mungkin kerana guru yang pandai mengajar semasa dia di sekolah dulu. Atau ibu bapanya yang memantaunya menyebabkan dia rajin belajar. Bermakna, pujian yang diterima itu bukanlah kerana dia sendiri, tapi boleh disebabkan elemen lain. Tapi apabila kita memuji Allah, tidaklah Allah itu layak dipuji atas sebab-sebab yang lain, melainkan Dia sahaja.
Dan apabila kita memuji seseorang itu pandai sebagai contoh diatas, Allah lah sebenarnya yang menjadikan dia pandai. Maka, sebenarnya kita memuji Allah pada hakikatnya. Akhirnya, pujian itu berakhir dengan Allah juga.

Sambungan tafsir ayat 2
AL HAMDU LILLAHI RABBIL 'AALAMEEN

Marilah kita lihat keindahan bahasa yang digunakan dalam Quran ini berkenaan perkataan ini. Perkataan الْحَمْدُ bukan hanya bermaksud ‘pujian’ sahaja. Ia sebenarnya mempunyai dua maksud: ‘pujian’ dan juga ‘terima kasih’. Dua-dua makna itu terangkum dengan indahnya dalam perkataan الْحَمْدُ itu. Kalau pujian, dalam bahasa Arab, ianya adalah ‘madh‘. Dan terima kasih dalam bahasa Arab adalah ‘syukr‘. Apabila dua perkataan itu digabungkan, ianya adalah الْحَمْدُ. Dengan menggunakan satu perkataan sahaja, sudah merangkum dua makna. Itulah indahnya bahasa Arab. Sebab itulah Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Dan sebab itulah kita sepatutnya belajar bahasa Arab supaya kita faham dengan lebih mendalam lagi Quran ini.

Dua-dua maksud itu perlu diletakkan bersama kerana dengan Allah, kita memujiNya dan juga kita berterima kasih kepadaNya. Dua-dua elemen itu kena ada sekali. Tapi, kalau dengan makhluk lain, kadang-kadang kita hanya berterima kasih, tapi kita tidak memujinya. Atau kita memujinya, tapi kita tidak berterima kasih kepadanya. Sebagai contoh, kalau kita lihat satu kereta yang cantik, kita mungkin memuji kereta itu, tapi tidaklah kita berterima kasih kepadanya – kerana kereta itu bukan kereta kita pun.

Ataupun ada masanya, kita berterima kasih, tapi kita tidak memuji. Sebagai contoh, bapa Nabi Ibrahim adalah pengukir berhala. Dia telah melakukan satu perbuatan yang amat sesat malah syirik. Nabi Ibrahim berterima kasih kepadanya kerana dia adalah bapa yang membesarkannya, tapi baginda tidak memujinya kerana perbuatan bapanya itu adalah syirik. Tapi, kepada Allah, dua-dua makna itu kena ada. Tidak pernah kita hanya berterima kasih tanpa syukur atau syukur tanpa pujian kepadaNya.

Catatan popular daripada blog ini

Memuliakan Tetamu dan Jiran

Beza Pendapat Bukan Pecah Belah

Ayat Quran Berkaitan Kawan,Persahabatan Dan Persaudaraan