Harta Yang Diperolehi Sebelum Memeluk Islam

Wang/harta yang diperolehi seseorang semasa ia masih kafir, kemudian ia memeluk Islam, wang/harta itu adalah halal baginya selepas ia memeluk Islam –walaupun diperolehi dari sumber yang tidak halal- kerana ketika ia mengumpul harta itu ia bukan seorang muslim dan hukum-hakam Islam (termasuk yang berkait dengan harta) belum mengikatnya.
Di dalam al-Quran, apabila Allah menurunkan ayat mengharamkan riba, harta yang lalu yang diperolehi sebelum pengharaman riba tidak diperintah Allah supaya dipulangkan atau dirampas, akan tetapi Allah berkata (yang bermaksud); “…sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (tentang pengharaman riba) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman riba) adalah menjadi haknya” (Surah al-Baqarah, ayat 275).
Imam ar-Razi menegaskan dalam tafsirnya (at-Tafsir al-Kabir); “Ayat ini menjadi asas yang besar bagi hukum-hakam tentang orang-orang kafir yang memeluk Islam, iaitu; apa yang telah berlalu semasa mereka kafir, maka ia adalah kekal, tidak terbatal dan tidak dirongkaikan (apabila mereka memeluk Islam)” (Surah al-Baqarah, ayat 275-279).
Ketika zaman Nabi, orang-orang musyrikin yang memeluk Islam tidak ada seorang pun dari mereka yang diselidiki hartanya oleh Nabi; dari sumber mana datangnya harta mereka? Dari sumber halal atau sumber haram?, sebaliknya baginda membiarkan harta yang mereka himpun semasa mereka kafir untuk terus mereka miliki sebagaimana baginda mengiktiraf perkahwinan mereka sebelum memeluk Islam.[1](Rujukan; Ahkam al-Mal al-Haram, Dr. Abbas Ahmad Muhammad al-Baz, hlm. 122-123).

Catatan popular daripada blog ini

Memuliakan Tetamu dan Jiran

Beza Pendapat Bukan Pecah Belah

Ayat Quran Berkaitan Kawan,Persahabatan Dan Persaudaraan