Syafaat Untuk Kita Semua,Kaum Muslim
16 Syaaban 1436H
03 Jun 2015M
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
Syafaat untuk kita semua, kaum Muslim…
Seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Auf bin Malik bercerita, suatu hari Nabi SAW bersabda kepada kami, “Tahukah engkau apa yang telah ditawarkan Tuhanku malam tadi kepadaku?” Kami berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Rasulullah SAW berkata, "Allah menawarkan kepadaku sama ada memasukkan sesetengah umatku ke dalam syurga, atau memberiku syafaat. Aku lalu memilih syafaat".
Kami lalu berkata, "Wahai Rasulullah, mintakanlah kepada Allah agar menjadikan kami termasuk dalam golongan ahli syafaatmu".
Baginda menjawab: "Syafaat ini untuk semua Muslim".
Hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan Ibn Majah ini sengaja saya pilih untuk membuka perbincangan kita tentang syafaat Rasulullah SAW, kerana isinya melahirkan kegembiraan di hati setiap orang yang membacanya.
Secara bahasa, syafaat berasal daripada kata al-syaf’u, maknanya “genap” (lawannya ganjil). Syafaat dengan demikian mengandungi makna “menggenapkan” sesuatu, yakni membantu pihak lain melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan dengan dirinya sendiri.
Ibn al-Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, "Syafaat ialah perkataan seseorang kepada raja untuk meminta hajat bagi orang lain".
Sewaktu kita berbicara pada Hari Pembalasan, maka yang menjadi Raja pada hari itu adalah Allah SWT yang menampilkan diri-Nya sebagai penentu nasib setiap makhluk.
Pada hari itu, sebagaimana firman Allah yang ertinya, "Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izin-Nya".
(Al-Baqarah: 255)
Maka hanya hamba-hamba yang sangat dekat kepada Allah sahaja yang memperoleh kehormatan untuk membantu orang lain.
Keyakinan dengan adanya syafaat ini merupakan aqidah yang menjadi pegangan Ahli Sunah waljamaah. Berkata al-Qadhi Iyad al-Maliki sebagaimana nukilan Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim
"Berbagai athar (hadith) yang keseluruhannya mencapai darjat mutawatir menunjukkan adanya syafaat bagi orang yang berdosa di akhirat, dan ini menjadi perkara yang telah menjadi ijmak di kalangan ulama Ahli Sunnah Waljamaah sejak generasi salaf dan khalaf hingga hari ini".
Al-Qadhi Iyad juga menjelaskan bahawa sekelompok manusia daripada puak Muktazilah dan Khawarij menolak adanya syafaat ini. Mereka berhujah dengan beberapa ayat al-Quran yang kesemuanya jika diperhatikan dengan teliti, berkaitan dengan orang kafir. Maka ayat ini tidak boleh dikenakan bagi orang beriman yang melakukan dosa lalu dimasukkan ke neraka. Hal ini kerana terdapat hadith-hadith Nabi yang mutawatir menjelaskan bahawa syafaat dapat menyelamatkan mereka dengan izin Allah SWT.
Lagi pula, kalau kita renungi secara mendalam syafaat ini sebenarnya tidak lain merupakan salah satu perwujudan daripada sifat rahmat Allah SWT kepada seluruh hamba-hamba-Nya. Rahmat ini diperlihatkan melalui hamba-hamba pilihan-Nya untuk menampilkan kelebihan mereka kepada semua manusia yang lain.
Antara hamba-hamba pilihan itu ialah Baginda Muhammad Rasulullah SAW satu-satunya hamba Allah yang memiliki al-Maqam al-Mahmud (Maqam yang Terpuji).
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Aku telah diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumku, salah satunya aku diberikan syafaat".
Baginda terus meminta kepada Allah untuk mengeluarkan setiap orang daripada umatnya yang berada di neraka sehingga tidak seorang pun yang tertinggal di tempat itu.
Allah mengabulkan syafaat Rasulullah sebagai perwujudan janji-Nya yang maha benar,
"Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu sehingga kamu menjadi puas".
(Ad-Dhuha: 5)
Al-Qadhi Iyadh menyebutkan beberapa bentuk syafaat yang Nabi SAW berikan kepada umatnya. Antara lain, memasukkan sebahagian umatnya ke dalam syurga tanpa hisab, mengangkat darjat sebahagian yang lain, menyelamatkan mereka dari neraka bagi orang yang telah diputuskan masuk ke dalamnya, juga mengeluarkan sebahagian yang lain dari neraka setelah mereka memasukinya.
Semua syafaat Rasulullah yang berbagai bentuk itu akan memberi manfaat kepada semua umat Baginda tanpa terkecuali. Umat Baginda ialah setiap orang yang pernah mengucapkan kalimat syahadat dengan ikhlas kerana Allah SWT.
Dalam Sahih al-Bukhari, Abu Hurairah bertanya Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu?”
Mendengar soalan itu Baginda menjawab;
“Aku sudah mengagakkan bahawa engkau akan menjadi orang pertama yang bertanya tentang perkara ini, kerana kecintaanmu kepada hadith-hadithku. Sesungguhnya manusia yang paling berbahagia dengan syafaatku pada hari kiamat nanti ialah orang yang pernah mengucapkan syahadat ‘tidak ada tuhan selain Allah’ dengan ikhlas daripada dasar hatinya.”
Imam al-Tirmidzi meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik yang bertanya kepada Nabi SAW,
“Di manakah aku harus mencari tuan nanti untuk meminta syafaat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di titian sirat.”
Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di titian sirat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di tempat penimbangan amal.”
Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di sana?” Rasulullah SAW berkata, "Carilah aku di telaga, sesungguhnya aku pasti hadir di salah satu daripada ketiga-tiga tempat ini".
Jelas di sini, Rasulullah akan selalu hadir di tempat-tempat yang sangat memerlukan di sepanjang proses hisab.
Setelah mengetahui hakikat ini, selayaknya bagi setiap Muslim yang berasa diri banyak dosa, ia selalu mengharapkan bantuan dan syafaat Rasulullah SAW. Dan itu dapat diusahakan dengan memperbanyakkan amalan sunah yang menjadikan kita layak mendapatkan syafaat Baginda. Siapa yang selalu melanggar sunah, semakin jauh ia daripada syafaat Nabi di akhirat.
Dalam Sahih Muslim menyebut hadith daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Jika kamu mendengar seruan muazin, maka ucapkanlah seperti ucapannya, lalu kamu berselawat kepadaku. Maka sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mintakanlah wasilah untukku, sesungguhnya demikian itu adalah sebuah tempat di syurga yang tidak patut didiami melainkan seseorang hamba Allah sahaja, dan aku berharap akulah orangnya. Barang siapa yang memintakan wasilah untukku, maka ia pasti mendapatkan syafaatku".
Justeru, perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan besar kita Nabi SAW.
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد
Ulasan
Catat Ulasan