Keras Hati
19 Syaaban 1436H
06 Jun 2015M
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
Keras hati…
Dalam realiti kita hari ini kebanyakkan ketandusan hati dan jiwa adalah merupakan penyakit yang sangat ketara. Ramai orang merasa susah hati, gelisah dan tidak merasa tenang dalam kehidupan adalah berpunca daripada hati yang keras. Walaupun memiliki jutaan wang ringgit, rumah banglow, kereta mewah, memiliki gedung-gedung perniagaan dan saham-saham pelaburan tetapi masih tidak dapat merasai ketenagan hati dan tidak mendapat kepuasan hidup, jiwa gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ini semua berpunca daripada kerasnya hati, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT. Berapa ramai di antara kita mengisi masa lapangnya untuk membaca ayat-ayat Allah SWT ? Hanya mereka yang mendapat rahmat-Nya akan mampu membaca al-Quran setiap hari. Berapa ramai yang menjadikan sepertiga malam untuk solat tahajud dan memohon ampun kepada Allah SWT dan mengalirkan air mata kerana takut azab Allah SWT?
Nabi Muhamad saw bersabda:
"Ketahui sesungguhnya pada sesebuah jasad itu ada seketul daging maka jika baik ketulan daging tersebut maka baiklah keseluruhan jasad tadi dan jika rosak ketulan daging tersebut maka rosaklah jualah keseluruhan jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sekarang kita lihat dan selidiki tentang hati. Hati adalah sumber kebahagian setiap insan yang ada di muka bumi ini. Daripada Abu Hurairah ra:
“Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baiklah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruklah pula tenteranya”.
Hati yang keras mempunyai tanda-tandanya yang boleh dikenali diantaranya:
1- Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan.
Terlalu malas untuk melakukan ibadah dan memandang ringan. Misalnya tidak serius melakukan solat,terasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang lain. Perkara ini ada Allah sebutkan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak pula menafkahkan harta mereka melainkan dengan rasa enggan”.
(At-Taubah: 54)
2- Tidak berasa gerun dengan ayat Al-Quran.
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali tidak mahu khusyuk dan tawaduk dan lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkan al-Quran. Sedangkan Allah SWT telah memberikan amaran dalam firman-Nya:
“Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu”.
(Al-Qaf: 45)
3- Berlebih-lebihan dalam mencintai dunia dan melupakan akhirat.
Segala tumpuan fikiran dan hatinya semata-mata hanya untuk dunia tanpa memikirkan bekalan untuk kehidupan semata-mata. Urusan sesama manusia hanya semata-mata untuk keuntungan atau mengumpulkan kekayaan dunia semata-mata yang mana menjadikan seseorang itu menjadi ego, dengki, dan individualistik, bakhil serta tamak terhadap kekayaan dunia yang hanya sementara ini.
4- Kurang mengagungkan Allah berbanding mengagungkan makhluk.
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati dalam mengejar rahmat Allah dan imannya. Sehingga hilang kemanisan iman , tidak marah ketika larangan Allah diperlecehkan serta tidak mengamalkan amal makruf serta tidak memperdulikan terhadap segala kemaksiatan dan dosa.
5- Tidak belajar dengan Ayat Kauniah.
Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat seperti firman Allah yang maksudnya:
Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertau
bat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?”
(At-Taubah: 126)
سَوابِقُ الهِمَمِ لا تُخرِقُ أسوَارَ الأَقدَار
Keras kemahuan hati tidak dapat menembusi benteng takdir.
Kita disyariatkan berusaha kerana di situ ada dosa dan pahala. Bahkan berniat untuk memilih suatu kebaikan sudah ada pahala untuknya.
Namun bersedialah untuk menerima takdir ketentuanNya kerana dalam menentu segala sesuatu, tiada siapa yang campur tangan padanya, Maha Esa Allah...
Justeru, usah bertelagah dengan takdir.
قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ ۖ
Katakanlah; "Semuanya (datang) dari sisi Allah"
(An-Nisa : 78)
Ulasan
Catat Ulasan