Tafsir Nama Allah (Rahman..Rahim)
Tafsir Nama Allah..
Rahman..Rahim👇
Nama dzat: Allah. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala macam sifat. Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah sifat Pemurah Allah sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu menyentuh tentang sifat Allah memberi rezeki sahaja. Tapi, apabila kita gunakan nama Allah – ianya merangkumi semua sifat-sifat Allah itu.
Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diriNya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui dari kata apa nama itu berasal. Maka diantara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar.
Nama sifat: ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang). Dua-dua nama ini berasal dari kata dasar – ar-Rahmah.
الرَّحْمَٰنِ
ar-Rahman diibaratkan seperti kasih seorang bapa kepada anaknya. Ayah itu sanggup memukul anaknya jikalau anaknya nakal, contohnya jika anak itu tidak mahu pergi sekolah. Ayah itu sanggup buat macam-macam untuk mendisiplinkan anaknya itu supaya anak dia itu menjadi seperti apa yang dia cita-citakan. Seorang ayah itu sanggup melihat anaknya yang nakal masuk penjara kerana hendak mendisiplinkan anak itu.
Sifat Rahman Allah itu sanggup melihat hambaNya bersusah payah dalam ibadat. Contohnya, kita kena solat setiap waktu. Kita di Malaysia tidak ada masalah untuk mengerjakan solat bila-bila masa pun. Tapi bayangkan di negara-negara yang sejuk, mereka susah untuk mengambil wudu dan sebagainya. Bayangkan mereka berpuasa di kutub utara dalam kesejukan dan masa yang lagi panjang dari kita, kerana siang mereka panjang. Jadi nampak macam mereka terseksa dalam melakukan ibadat. Dan Allah sanggup melihat penyampai agama (pendakwah) bersusah payah dalam menyampaikan agamaNya. Sampai ada yang dicerca, diejek malah ada yang dibunuh. Mereka hanya menghadapi dugaan ini semasa di dunia. Tapi kepada mereka di akhirat kelak, lain keadaan mereka. Mereka akan dibalas dengan usaha dan kesusahan yang telah mereka alami semasa menjalankan ibadat-ibadat dan dakwah mereka kepada manusia.
Sifat Rahman Allah ini diberikan kepada seluruh makhlukNya, walaupun yang mukmin atau tidak. Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan segala nikmatNya kepada penduduk dunia. Tidak kira samada mereka kafir atau tidak.
الرَّحِيمِ
ar-Rahim diibaratkan kasih seorang emak yang tak sanggup tengok anaknya dipukul. Walaupun anak dia seorang penagih dadah. Dia tak sanggup anaknya masuk penjara. Dia sanggup buat apa sahaja supaya anaknya tidak diazab.
Kalau di dunia, sifat Rahman Allah sanggup melihat hambaNya kepayahan dalam menjaga agama, tapi apabila di akhirat nanti, Allah yang bersifat Rahim tidak sanggup nak tengok hambaNya yang Dia sayang itu mendapat siksa. Apabila Dia sudah ampun dosa, Dia tidak tanya lagi dah kesalahan dan dosa yang mereka telah lakukan. Kalau kita sebagai manusia, walaupun kita dah maafkan seseorang, kita masih lagi ada tersisa rasa terkilan kita. Kita masih ingat lagi kesalahan yang dia telah buat kepada kita. Tapi Allah tidak begitu.
Sifat Rahim ini dikatakan oleh ulama dikhususkan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada selainnya. Kalau kita bukan seorang yang mukmin, berkemungkinan kita tidak dapat merasa nikmat Rahim Allah ini.
Kalau kita lihat susunan basmallah ini, kita boleh lihat bagaimana Allah memulakan penggunaan namaNya dari bentuk umum (nama Allah) kepada bentuk yang spesifik (ar-Raheem). Basmallah bermula dengan nama Allah – yang merangkumi seluruh sifat-sifatNya. Kemudian nama ar-Rahman – iaitu sifat Pemurah Allah yang diberikan kepada seluruh makhluknya. Kemudian lebih spesifik lagi adalah nama ar-Rahim – sifat pemurah Allah yang hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Begitu hebat sekali susunan Allah ini.