Kawan,Persahabatan Dan Persaudaraan
KOLEKSI HADIS BERKAITAN DENGAN KAWAN, PERSAHABATAN DAN PERSAUDARAAN MENURUT ISLAM
Hadis Persahabatan: Memilih Kawan
“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat.” (Riwayat Ahmad)
Hadis Persahabatan: Tukang Besi dan Penjual Minyak Wangi
“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Jangkitan Orang Durjana
“Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat.” (Al-Mustadrak ala al Sahihain)
Hadis Mengenai Persahabatan: Orang Mukmin
“Jangan bersahabat kecuali dengan orang Mukmin.” [Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Jamuan Orang Bertakwa
“Janganlah memakan jamuan anda melainkan orang yang bertaqwa.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Cermin
“Orang Mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya” (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Ikatan Setiakawan Kerana Allah
“Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah.” (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)
Hadis Persahabatan: Memanfaatkan Kelebihan Diri Untuk Menolong Orang Yang Tidak Ada Kelebihan Tersebut
“Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan.” (Riwayat Muslim)
Hadis Persahabatan: Rasa Sayang
“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Doa Untuk Sahabat
Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan:
عن عمر رضي اللهم عنهم قال استأذنت النبي صلى اللهم عليه وسلم في العمرة فأذن لي وقال لا تنسنا يا أخي من دعائك فقال كلمة ما يسرني أن لي بها الدنيا
Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendoakan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut. (Riwayat Abu Daud)
Ulasan
Catat Ulasan